Monday, September 22, 2008

Raja Boer

Januari 30, 2008 — mybob
Pembiak No. 1 Australia
Oleh ADHAM SHADAN

Dia memenangi pelbagai anugerah baka kambing Boer terbaik lantaran kambingnya yang mempunyai ketahanan yang lebih tinggi dan mampu membiak dengan baik. Dia dianggap Raja Boer.


JIM BOER di ladangnya di New South Wales, Australia.

PADA tahun 1995, Jim Boer atau nama sebenarnya Jim Mayall Gilgandra hanyalah seorang penternak kambing biasa. Berbekalkan sekawan kecil kambing komersial serta tambahan dua ekor kambing Boer betina dan seekor kambing Boer jantan, dia memulakan usaha taninya yang tidak seberapa.

Namun, penternak kecil di New South Wales (NSW), Australia ini memiliki jiwa yang besar.

Merasakan tiga ekor kambing Boer yang dibelinya itu tidak memenuhi piawaian sama ada untuk tujuan komersial mahupun perusahaan, dia bertekad bahawa sesuatu perlu dilakukan.

Usaha demi usaha dilakukan Jim, 55, untuk menghasilkan mutu baka yang lebih baik. Tanpa latar belakangkan pengetahuan sains dan ilmu genetik, anak jati keluarga peladang ini memasang strategi mencatur pembiak bakaannya sendiri.


JIM BOER (kanan sekali) bersama pakar Boer Afrika Selatan, Izak Vorster (dua dari kanan).

Kini, kejayaan telah digapainya. Ladang Jimboer Boer Goat Stud yang diusahakan bersama isterinya, Lyn Mayall di kawasan barat NSW, menjadi saksi akan kegemilangannya. Ladangnya merupakan ladang kambing Boer pertama di Australia yang mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kambing Boer Afrika Selatan yang cukup berprestij seawal tahun 2004 lagi.

Afrika Selatan merupakan negara susur galur Boer, kambing bertubuh putih dan berkepala coklat itu bermula.

Bukan sekadar dinobatkan sebagai pembiak Boer nombor satu di Australia, bahkan dengan beberapa pihak di Afrika Selatan yang mahu membeli bakanya sudah cukup untuk menjawab sejauh mana Jim telah pergi dalam pencapaiannya.
BOER hasil bakaan Jim yang baru memenangi kejohanan Canberra Royal 2008.


Barang kali, dengan reputasi sedemikian, tidak hairan jika ada yang memberi gelaran kepadanya sebagai Raja Boer atau pembiak baka Boer terbaik dunia.

“Benar, saya telah menerima permintaan daripada Afrika Selatan yang mahu membeli embrio baka Boer saya. Saya menjangka akan mengeksportnya ke sana pada tahun depan,” ujar Jim Boer ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini. Nada suaranya daripada corong telefon berbunyi tenang walaupun ketika menyampaikan sesuatu, yang pada hemat penulis, sewajarnya mengujakannya.

Siapa sangka, bermula daripada tiga ekor kambing Boer lebih 13 tahun lalu yang disifatkan beliau amat teruk kualitinya, kini 300 ekor kambing Boer yang berada pada tangannya ialah sekelompok kambing Boer dengan kualiti paling tinggi.
AHMAD TARMIZI bersama Jim Boer.


Tidak cukup dengan itu, baka-baka kambing Boernya telah diperakui sebagai baka yang sangat bagus dan amat dipandang tinggi oleh pakar-pakar penilai Boer dari Afrika Selatan sendiri seperti Jackie Jordaan, Koenie Kitze, Francois Maritz dan Izak Vorster.

Jordaan menyifatkan kunjungannya ke ladang Jim pada tahun 2005 sebagai satu pengalaman yang mengejutkan kerana ia menghasilkan kualiti baka Boer yang hebat.

Apa yang paling mengagumkannya ialah sifat feminin yang ketara kambing-kambing Boer betinanya dan kegagahan kambing-kambing Boer jantannya mencakupi segenap segi.


Vorster pula mengakui kambing-kambing Boer baka Jim adalah jenis kambing Boer paling cemerlang.

Menghadapi ujian getir seperti kemarau panjang bertahun-tahun, itu merupakan antara tribulasi besar yang dilaluinya. Memang Boer dikatakan boleh menyesuaikan diri dalam suasana kering tetapi hakikat kemarau selama tujuh tahun berturut-turut di NSW sehingga kini suatu yang amat menyukarkan.

“Memang kemarau menambahkan kesukaran. Air adalah keperluan asas semua makhluk hidup,” ujarnya yang terpaksa mendapatkan sumber air dengan mengorek perigi bagi memastikan tanaman hay yang menjadi makanan Boernya sentiasa subur.

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini adalah berakar umbi daripada keyakinan, kerja keras, kejujuran dan integriti yang saya amalkan selama ini,” kata bapa kepada empat orang anak ini. Anak-anaknya berusia antara 14 hingga 28 tahun.

Jim kini giat melakukan percubaan peribadi berasaskan kehandalannya dalam ilmu genetik Boer untuk perusahaan daging Boer. Ia turut dilakukan dengan sokongan pembiak baka Australia yang lain seperti Daryl dan Naree Greenaway. Setakat ini, Boer jantan terbesar yang dihasilkan ialah 140 kilogram dan Boer betina ialah 98 kilogram.


Usaha membiak baka tidak pernah terhenti dan dia selalu mengungguli pelbagai kategori dalam kejohanan Boer di Australia sejak tahun 2005 sehinggalah terbaru di Canberra Royal 2008.

“Apabila bercakap tentang membiak baka, ia bukanlah suatu yang boleh diterangkan dengan mudah begitu sahaja. Banyak perkara dan teknik yang perlu dipelajari. Saya nasihatkan kepada mereka yang mahu membiak baka kambing Boer, mempelajarinya terlebih dahulu agar kesulitan dapat dielakkan,” ujarnya sambil mengakui ‘praktikal hidup’ merupakan gurunya selama ini.

Jim jujur mengakui matlamat utamanya selepas ini ialah untuk menyebarkan ilmu mengenai Boer kepada sesiapa sahaja yang dahagakan ilmu untuk mempelajarinya.

Pengurus ladang Agrotrus Sdn. Bhd. dari kumpulan BoerBest, di Ijok Selangor, Ahmad Tarmizi Mohamad merupakan antara insan yang pernah berhubung secara langsung dengan Jim. Dia telah berkelana ke bumi Australia dua tahun yang lalu untuk menemui Jim, individu asing yang belum pernah ditemuinya, demi menuntut ilmu Boer.

“Kepala saya asyik ligat berfikir bagaimanalah penerimaannya. Yalah, rasa rendah diri sangat sebab kita tidak tahu banyak mengenai Boer. Tetapi, perasaan itu hilang, apabila layanan mesra yang diberikan buat kita selesa.

“Apa yang boleh saya katakan, Jim seorang yang sanggup mengajar seseorang walau berada di tahap paling bawah pun. Kata-katanya banyak berdasarkan fakta dan dia bukanlah seorang yang suka mendabik dada memperkatakan kehebatannya. Dia seorang yang merendah diri,” ujar Ahmad Tarmizi yang disifatkan sebagai orang Asia pertama menemui Jim di Australia.

“Saya menjadikan dia sebagai idola. Kita lihat bagaimana bermula dengan ’sifar’, tanpa pelajaran tinggi dan pengetahuan yang terhad, dia boleh menjadi sebegitu sukses,” ujarnya.

Jika anda masih sangsi tentang kehebatan Jim, mungkin kandungan sepucuk emel daripada seorang individu dari Afrika Selatan yang ditujukan kepada Jim mampu merungkainya. Ia lebih kurang berbunyi:

“Saya tidak akan berhenti membiak baka kambing Boer sehinggalah saya dapat menghasilkan kualiti Boer seperti anda.”

Ogos ini, Jim Boer dijangka akan memberikan ceramah mengenai Boer di negara ini. Untuk maklumat lanjutan mengenai ceramah dan kursus berkenaan sila hubungi talian 016-317 5930 (Melissa), 012-941 5166 (Amat) dan 013-388 3635 (Shukor).
Siswazah sahut cabaran ceburi bidang ternakan
Oleh LAUPA JUNUS
Lambang kejayaan… Harfirdaus Che Lah bersama kakitangannya di hadapan kedai jualan mereka di Saujana Impian, Kajang.

Tidak ada yang lebih istimewa bagi seorang siswazah apabila berpeluang menimba pengalaman sebagai pengurus operasi perniagaan peruncitan dan pemborong sedangkan baru sahaja menggenggam segulung ijazah.

Lebih istimewa, kerjaya barunya menuntut lebih usaha untuk mendapatkan pengetahuan kerana ia berkaitan pemasaran produk berasaskan ternakan sedang, ijazah yang dimiliki dalam bidang kejuruteraan elektrik.

Justeru, `haluan’ yang dipilih nyata menyimpang jauh daripada ilmu yang ditimba di universiti tetapi bagi Harfirdaus Che Lah, dalam usia yang baru mencecah 23 tahun, dia menganggapnya sebagai satu cabaran yang memerlukan kecekalan, keberanian selain tidak berputus asa untuk menambah pengetahuan.

“Saya sudah jatuh cinta dengan perniagaan ini, ujarnya,‘’ ketika ditemui di pejabatnya di Kajang baru-baru ini.

Harfirdaus Che Lah yang memegang jawatan Eksekutif Operasi, Perfect Fresh and Frozen nyata enggan menambah bebanan fikirannya bahawa bidang yang agak asing baginya boleh menjadi batu penghalang mencapai kejayaan.

Malah dia yang pernah bertugas sebagai pelatih pengurus di sebuah syarikat makanan segera akan memanfaatkan ilmu yang dimiliki untuk memajukan syarikat berkenaan yang baru membuka outlet di Jalan Impian Murni, Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Syarikat yang diuruskan oleh KMJ Supplies Sdn. Bhd. itu beroperasi sebagai pemborong dan peruncit bekalan daging lembu, kambing Boer, rusa, unta, burung unta, arnab dan ayam kampung.

Selain itu, syarikat terbabit juga memasarkan ayam turki, burung puyuh, itik dan susu kambing.

Syarikat terbabit menawarkan sistem francais kepada mana-mana pengusaha yang berminat memasarkan produk-produk berkenaan, dengan tujuan membantu pengusaha ladang di peringkat pengeluaran untuk memasarkan hasil mereka.

“Ada masa ini, kami memperoleh bekalan dari merata tempat di seluruh negara dan ini sekali gus dapat pengusaha memasarkan hasil ladang mereka,” kata Harfirdaus.

Sebagai contoh, bekalan ayam kampong diperoleh dari projek penternakan membabitkan ibu tunggal di Kuala Selangor, burung puyuh (Pulau Pinang), itik (Tampin), arnab (Broga) dan burung unta dari Beranang, Selangor.

Pengusaha menghantar bekalan daging mereka selepas diproses manakala syarikat terbabit membungkusnya dengan potongan dengan saiz tertentu memudahkan suri rumah menyediakannya untuk dimasak.

Apa yang pasti, konsep pemasaran bekalan produk berasaskan daging itu memperkenalkan konsep baru dalam pemasaran daging yang bukal sahaja, segar tetapi halal dan bersih.

Menurut Harfirdaus, meskipun baru dibuka pada 24 November lepas, pengunjung sudah mula memenuhi outlet tersebut sejak awal pagi khususnya pada hari cuti.

Ini kerana konsep yang mudah untuk membuat pilihan dan jenis daging ternakan yang pelbagai, mendorong mereka mendapatkan produk yang diperlukan.

Meskipun tidak semua daging yang dijual hasil daripada ladang ternakan tempatan, syarikat terbabit menjanjikan produk yang segar dan berkualiti.

Malah, selain pasaran runcit, pengguna juga boleh membuat tempahan untuk mendapatkan daging yang dikehendaki dan akan dihantar ke destinasi yang diminta

Menurut Harfirdaus, pihaknya juga menyasarkan kepada syarikat penyajian makanan (catering) kerana ia menawarkan satu pasaran besar bagi bekalan daging mentah.

Selain itu, syarikat terbabit juga membekalkan susu kambing segar berjenama Vcals ke beberapa buah hospital selain dijual secara runcit.

Pada masa ini, syarikatnya mampu mengedar antara 400 dan 500 botol sehari kepada pelanggan terbabit.

Dengan modal awal sebanyak RM250, 000 bagi melengkapkan outlet yang menempatkan pusat jualan, bilik pemotongan serta bilik sejuk beku serta kakitangan seramai empat orang setakat ini, Harfidaus ternyata mempunyai tanggungjawab berat memajukan perniagaannya,

Kita kena berani bersemangat dan yakin dengan diri.

Mengenai konsep francais, beliau percaya dapat mengembangkan lagi usaha tersebut melibatkan 10 buah cawangan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Info ringkas mengenai industri penternakan ruminan:

* Kadar sara diri (SSL) bagi lembu dan kambing masih rendah iaitu masing-masing 18 peratus dan sembilan peratus.

* Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3) serta Pelan Imbangan Dagangan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meletakkan sasaran SSL 40 peratus bagi lembu dan 35 peratus bagi kambing menjelang 2010.

* Bagi mencapai sasaran tersebut, pengeluaran lembu dan kerbau yang diperlukan ialah sebanyak dua juta ekor.

* Lebih 723,000 ekor lembu betina dan lebih 338,000 ekor lembu disembelih dengan mengambil kira 60 peratus kelahiran dan 40 peratus lagi baka pembiak.

* Bagi industri kambing pula, lebih satu juta ekor diperlukan dengan bilangan pembiak lebih 380,000 ekor dan yang disembelih 3000,000 ekor setahun menjelang 2010.

* Pada masa ini, dianggarkan terdapat 23,800 pernternak terdapat di negara ini meliputi semua komoditi ternakan.

- Penternak lembu- 13,950 orang

- Penternak kambing-3,544 orang

- Industri kambing:

- Penternak tradisional- 75 peratus

- Penternak semi komersial- 15 peratus

- Penternak komersial-10 peratus

Antara projek utama:

* Pusat Pengeluaran Kambing Boer Negara seluas 4-5 hektar dio Pondok Tanjung, Taiping Perak

* Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment