Monday, September 22, 2008

Bahan kimia dalam udang dan daging

Kimia haram dikesan pada daging, udang
Oleh TAJUL SAFUAN ABU HASSAN
Tan Chin Meng (tengah) memeriksa harga barangan yang dibungkus dalam hamper di sebuah pasar raya dalam Ops Shu di Ipoh, semalam.

IPOH 29 Jan. – Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesan daging dan udang segar yang dijual di sebuah pasar raya terkemuka di sini mengandungi sulfur dioksida, bahan kimia yang diharamkan penggunaannya dalam makanan.

Kedua-dua makanan itu gagal dalam ujian saringan semasa jabatan berkenaan menjalankan operasi bersepadu sempena perayaan Tahun Baru Cina bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia Perak, Datuk Tan Chin Meng berkata, daging dan udang berkenaan telah diuji dengan mencampurkannya bersama sejenis agen yang akan berubah warna jika mengandungi bahan pengawet.

Hasil ujian tersebut, katanya, daging dan udang berkenaan didapati positif mengandungi sulfur dioksida dan ia akan menjalani satu lagi ujian di makmal.

“Jika ujian akhir di makmal mengesahkan kehadiran sulfur dioksida itu, ia akan dirujuk kepada pihak pembekal kerana pasar raya hanya menjual makanan tersebut tanpa mengetahui bahan pengawet itu,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita semasa menyertai operasi itu di sini hari ini, Chin Meng berkata, mereka yang menggunakan bahan pengawet haram dalam makanan boleh didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Mengenai operasi itu, katanya, ia bertujuan memastikan peniaga mematuhi undang-undang supaya menjual makanan segar yang bebas daripada penggunaan sulfur dioksida dan asid borik serta benar-benar berkualiti kepada pengguna sepanjang perayaan TBC.

Katanya, operasi itu turut memeriksa hamper, mengambil sampel limau mandarin untuk analisis racun perosak dan makanan dalam tin yang sudah rosak.

Tambahnya, pemeriksaan secara bersepadu itu akan diteruskan sehingga sambutan perayaan Cap Goh Meh pada 21 Februari depan.

No comments:

Post a Comment