Tuesday, September 9, 2008

pemasaran

Thursday, December 07, 2006

Pemasaran : Jangan Bergantung Kepada Pihak Ke-3

Seperti dijanjikan, saya akan bangkitkan tentang konsep pemasaran yang boleh dijadikan sebagai pilihan bagi setiap penternak. Semuanya bergantung kepada strategi dan kreativiti masing-masing dalam mempelbagaikan corak pemasaran yang difikirkan mampu mendatangkan manafaat kepada industri kita ini.

Biarpun sekecil manapun perniagaan kita, kita mestilah tetapkan pelan pemasaran kita sendiri dan tidak bergantung kepada pihak ke-3. Selalunya ramai penternak mengambil jalan mudah untuk menyerahkan bulat-bulat kepada pihak ke-3 yang sememangnya sentiasa menantikan peluang untuk mengaut keuntungan atas usaha orang lain. Mereka tidak salah kerana mereka tidak pernah memaksa, cuma mereka begitu kreatif untuk mencipta pendapatan tanpa perlu mengusahakannya sendiri.

Saya sendiri pernah 'terkena' dengan kepandaian pihak ke-3. Dan saya juga pernah belajar daripada seorang peraih yang baru memulakan perniagaan tetapi telah menjadi orang yang paling terkenal di kalangan penduduk setempat di satu daerah yang sibuk, dalam pekan Sungai Petani. Dia cuma perlu bekerja 4 jam sehari, tetapi mampu mendapat purata pendapatan bersih antara RM100-RM300 sehari. Mungkin tidak mewah, tapi apa yang dilakukan cukup mudah dan saya kagum. (Mungkin satu hari saya akan ceritakan bagaimana beliau melakukannya...).

Saya pernah membeli satu produk ternakan dengan harga RM20 daripada pihak ke-3. Kononnya harga tersebut adalah paling murah berbanding orang lain (tanpa menyedari harga yang dibandingkan itu adalah harga daripada pesaing mereka yang juga pihak ke-3). Pada mulanya saya keberatan, tetapi setelah saya check dengan pihak yang dimaksudkan, memang harga yang ditawarkan itu berbaloi. Tapi saya tidak berhenti memeriksa harga bagi produk tersebut. Akhirnya saya dapat membeli dengan harga serendah RM12 bagi produk yang sama dengan spesifikasi yang sama!! Lihatlah berapa banyak yang kita boleh jimatkan hanya daripada satu produk.....

Secara ringkasnya ini adalah antara konsep pemasaran yang boleh dijadikan sebagai asas bagi penternak-penternak kecil seperti saya :

Jika anda memilih konsep ternakan baka tulen, perkara paling utama yang perlu anda ada mestilah kefahaman tentang konsep penambahbaikan genetik dan memerlukan baka yang terbaik di ladang anda.

Pembuktian rekod sangat penting bagi membuktikan ketulenannya. Tanpanya anda tak mungkin dapat memasarkannya dengan mudah. Rekod ini juga memudahkan pihak pembeli membuat pilihan yang meyakinkan.

Kita juga boleh mengenalpasti sebanyak mungkin penternak seluruh kawasan pilihan/target kita melalui JPH bagi memudahkan kita membuat jualan langsung dan menghebahkan kepada mereka tentang kewujudan kita.

Di samping itu kaedah Auction juga makin popular di Malaysia. Contohnya seperti di pameran MAHA baru-baru ini. Kita boleh mengambil bahagian dalam banyak pameran atau expo sebegini atau mungkin juga mengendalikannya sendiri untuk kawasan setempat.

Bagi jualan aqiqah/korban, memilih lokasi yang mudah didatangi oleh pelanggan adalah faktor utama. Jika ladang penternakan kita agak terpencil, mungkin dapat dibantu dengan adanya papan iklan di tempat yang mudah nampak. Ini membantu penduduk sekitar ladang tahu tentang apa yang kita lakukan.

Kreativiti anda dalam membuat promosi jualan boleh dilakukan dengan beberapa cara, salah satunya menyebarkan risalah kepada penduduk setempat atau kawasan tumpuan. Juga boleh membuat promosi di surau-surau atau di masjid.
Sementara jualan kambing sembelihan/daging segar , kita boleh lakukan promosi di pasar basah, rangkaian kedai mamak atau restoran ala-arab, mewujudkan rangkaian bersama syarikat katering yang menyediakan BBQ atau juga industri perhotelan. Perlulah kita tahu kuasa membeli terdapat di bandar-bandar besar seperti KL, Penang dan Johor. Kalau kita bekerja keras, berapa banyak hotel, restoran nasi kandar, syarikat katering dan seumpamanya boleh kita pasarkan? Saya yakin, mereka masih bergantung kepada daging import.
Di samping itu, susu kambing juga mampu mendapat pasaran yang baik jika kita mampu menyediakan sekurang-kurangnya 10 liter sehari. Hospital, klinik-klinik dan rangkaian restoran sentiasa memerlukan susu segar. Jika kita dapat menembusi pasaran ini, kaedah pemerahan susu yang bersih dan pembotolan yang menarik mestilah menjadi amalan penternakan kita untuk meyakinkan mutu susu yang kita tawarkan.
Saya juga masih menyimpan satu keratan penuh akhbar yang menceritakan seorang pengusaha susu kambing Saanen. Beliau mempunyai kilang memproses susu kambing untuk dijadikan alat-alat kosmetik. Mungkin ini boleh mencetuskan satu lagi peluang bagi kita sebagai pengusaha kecil.

No comments:

Post a Comment