Friday, September 12, 2008

Pastikan HALAL

Berita Harian
Khamis, 28 Julai 2005

ISU serbuan di beberapa kilang dan premis makanan pada awal tahun ini sungguh memeranjatkan umat Islam. Kilang yang mengedarkan sosej didakwa menggunakan bahan yang mempunyai elemen babi pada kulitnya (casing). Tetapi selepas diuji di makmal, tiada elemen babi dikesan.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna produk itu benar-benar halal kerana kulit sosej yang mengandungi kolagen, mungkin dibuat daripada sumber haiwan seperti lembu, kambing dan sebagainya yang tidak disembelih secara Islam.

Kita bukan lagi hidup pada zaman yang mana najis mughallazah seperti babi boleh dilihat dengan jelas dengan mata kasar dan mudah untuk dijauhi. Bahan haram di zaman moden ini memerlukan ilmu dan teknologi yang tinggi untuk mengesannya.

Masyarakat Islam perlu sedar dan prihatin bahawa langkah pemantauan pihak berkuasa tidak mencukupi untuk menjamin status halal produk makanan. Pengetahuan dalam langkah penyediaan makanan serta mengetahui sumber dan cara penggunaan aditif dalam proses pembuatan produk makanan secara komersial, tidak kurang pentingnya.

Dalam pembuatan produk daging diproses seperti sosej, bukan saja ramuan dagingnya perlu disahkan halal malah setiap langkah yang terbabit dalam pembuatan sosej, daripada mula daging mentah diproses, dimasak, dibungkus, disejukbeku, diedarkan dan dipamerkan di peti sejuk di pasar raya, mestilah tidak tercemar dan menjejaskan status halalnya.

Sebagai contoh, mesin memproses produk daging di kilang memerlukan pelincir iaitu dalam bentuk gris yang digredkan sebagai sesuai untuk digunakan pada makanan? Ia mungkin lemak tumbuhan atau dibuat dari tallow iaitu lemak lembu yang tidak disembelih.

Oleh itu, walaupun sosej yang dihasilkan 100 peratus halal, siapa yang tahu mengenai pelincir mesin memproses ini? Setakat ini, masih belum ada kaedah yang mampu mengesan sama ada sumber haiwan yang digunakan untuk membuat kolagen atau pelincir mesin berasal daripada ternakan halal yang disembelih.

Dalam era bioteknologi ini, pendekatan Islam dari segi etika dan keselamatan produk makanan perlu diseimbangkan dengan merapatkan kembali jurang teknologi moden pemprosesan makanan dengan ilmu fatwa yang terkini dan relevan dengan zaman sekarang.

Masih ada banyak isu yang samar-samar seperti teknologi DNA dan pengklonan, makanan GMO (genetically modified organism) dan transgenik. Sistem pemantauan status makanan halal yang telus dan berkesan diperlukan supaya kebersihan sesuatu produk makanan itu dinilai bukan sekadar daripada pandangan mata kasar. Jika umat Islam di Malaysia tidak mampu melakukannya, dunia akan meragui kemampuan dan kesungguhan kita untuk menjadi hub halal.

Sebelum pasaran halal dunia ditakluki, adalah lebih wajar jika kepercayaan pengguna Islam tempatan dipulihkan semula. Dari segi pemantauan dan insentif untuk penghasilan produk makanan halal, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan galakan untuk mempertingkatkan kualiti produk tempatan.

Sebagai langkah untuk membantu pengusaha makanan tempatan berdaya saing dan mencapai cita-cita hub halal negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengeluarkan sijil pengesahan halal dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia kini menyediakan garis panduan pemantauan produk halal berdasarkan piawaian MS 1500:2004 dan ISO/IEC Guide 65:1996.

Kaedah pengeluaran makanan halal yang standard dan diiktiraf pada peringkat global ini diselaraskan supaya diterima masyarakat antarabangsa. Malaysia adalah negara pertama di dunia memperkenalkan sijil pengiktirafan mutu produk makanan halal. Isu status halal produk agrotani hasilan bioteknologi sudah tentunya menarik perhatian umat Islam yang akan menjadi pengguna akhir, seterusnya merujuk kepada ulama untuk penetapan fatwa.

Disarankan supaya ulama dan saintis berganding bahu memahami dan menyelesaikan isu makanan dan produk gunaan yang benar-benar halal. Ulama boleh menyebarkan isu makanan halal dari segi perspektif Islam dalam kegiatan ibadat seperti ketika khutbah Jumaat dan ceramah sebagai langkah untuk mendidik masyarakat dengan ilmu yang tepat.

No comments:

Post a Comment