Saturday, November 22, 2008

22 November 2008
Serangan bakteria H. Pylori
Posted by seri under KESIHATAN | Tags: Bakteria |
No Comments

Oleh: AIZAWATI AHMAD

MUNGKIN masih ramai yang tidak mengetahui mengenai bakteria Helicobacter Pylori (H. Pylori) di dalam perut manusia.

Sehingga kini punca sebenar kewujudan bakteria itu tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.

Ada juga kalangan pakar perubatan cuba mengaitkan tabiat pemakanan sesebuah bangsa sebagai punca utama mereka dijangkiti bakteria H. Pylori.

Pakar Perunding Gastrousus dan Ketua Jabatan Perubatan Hospital Universiti, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee berkata, kajian yang dilaksanakan di negara ini mendapati kaum Cina mempunyai kadar peratusan tertinggi dijangkiti bakteria H. Pylori.

Kadar tersebut diikuti oleh kaum India dan seterusnya Melayu yang mempunyai bilangan pesakit terendah dijangkiti bakteria berkenaan.

“Punca sebenar bakteria tersebut merebak masih lagi belum dapat dijelaskan kerana tidak ada bukti kukuh yang menyatakan budaya pemakanan menyebabkan bakteria H. Pylori menjangkiti individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Gastro 2001 di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dr. Goh memberitahu, H. Pylori boleh hidup di dalam perut manusia yang mengandungi asid yang tinggi.

Bakteria itu akan membuat lubang di dalam perut pada lapisan duodenal dan ia boleh hidup dalam jangka waktu yang panjang.

“H. Pylori juga boleh menghasilkan toksik yang menyebabkan pesakit terdedah kepada penyakit ulser,” ujar beliau.

Antara penyakit yang berkait rapat dengan bakteria H. Pylori ialah dyspepsia (kesakitan pada abdomen), ulser gastrik, ulser duodenal dan barah gastrik.

Menurut Dr. Goh, dyspepsia merupakan sejenis penyakit yang akan menyebabkan penghidapnya berasa sakit dan tidak selesa pada abdomen.

Penghidap akan berasa sakit di bahagian abdomen mereka bertambah serius apabila mereka cuba menelan makanan.

“Biasanya pesakit yang menghidap dyspepsia akan menanggung kesakitan selama dua minggu,” jelasnya.

Antara tanda-tanda dyspepsia ialah pesakit berasa pedih pada hulu hati, kesakitan pada abdomen dan berasa loya atau mual.

Selain dyspepsia, ulser juga boleh menyebabkan pesakit terdedah kepada risiko menghidap penyakit barah gastrik.

Dr. Goh menjelaskan, pesakit yang disahkan oleh doktor pakar menghidap barah gastrik biasanya telah dijangkiti bakteria H. Pylori.

Katanya, penyakit tersebut merupakan antara barah yang kerap menyerang manusia sehingga menyebabkan 750,000 kematian di seluruh dunia setiap tahun.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar perubatan, sebanyak 50 peratus pesakit yang menghidap barah gastrik dikenal pasti setelah ujian dilakukan untuk mengesan bakteria H. Pylori dalam perut mereka,” katanya.

Bakteria H. Pylori tersebar luas di seluruh dunia tetapi Asia merupakan benua yang paling ramai penghidapnya.

Menurut Dr. Goh, sebanyak 80 peratus daripada penduduk Asia telah dijangkiti bakteria tersebut.

Sebanyak 49 peratus pesakit didapati menghidap dyspepsia manakala bilangan pesakit ulser duodenal adalah sebanyak 91.4 peratus dan 74.1 peratus menghidap ulser gastrik.

H. Pylori boleh menyebabkan berlakunya barah melalui penghasilan jumlah toksik yang tinggi sehingga mendatangkan kesan kepada karsinogenesis. Rangsangan penghasilan sel epitelial turut menyebabkan komplikasi yang sama.

Dr. Goh menjelaskan, pesakit yang mendapati dalam tubuh mereka ada bakteria H. Pylori akan turut berhadapan dengan masalah anaemia, kehilangan berat badan, rasa tidak selesa pada abdomen dan juga menghidap penyakit kuning.

Sehubungan itu, pesakit dinasihatkan melakukan pemeriksaan doktor pakar supaya ujian darah dapat dilakukan bagi mengenal pasti serangan H. Pylori.

Selain ujian berkenaan, pesakit juga boleh memilih untuk melakukan ujian hembusan pernafasan. Ujian ini selamat untuk kanak-kanak dan wanita hamil.

“Pesakit yang menghidap barah gastrik turut dinasihatkan supaya melalui program antibiotik yang dilaksanakan oleh doktor. Teknik tersebut amat berkesan dan tidak melibatkan kos yang tinggi,” ujar beliau.

Bagaimanapun, pesakit tidak perlu berasa bimbang kerana bakteria H. Pylori boleh dihapuskan dan mereka yang menghidap ulser berpeluang untuk sembuh selain mengurangkan risiko penyakit tersebut berulang.
Oleh: RAMLI ABDUL KARIM

SETIAP penyakit yang dihidapi lazimnya memerlukan ubat atau penawar berlainan. Kaedah perubatannya juga selalunya berbeza sama ada ia dirawat secara moden atau tradisional.

Bagi mengubati resdung, luka, sakit gigi dan kembung perut, pesakit memerlukan ubat farmasi yang berlainan bagi setiap penyakit tersebut.

Pemeriksaan dan rawatan oleh doktor juga berbeza malah mungkin terpaksa mendapatkan khidmat pakar yang berlainan.

Bagaimanapun, pokok herba LEMBIAGA atau nama saintifiknya Calotropis gigantea yang diperkenalkan minggu ini mungkin boleh membantu mengurangkan kesukaran mengubati keempat-empat penyakit itu serentak.

Ini kerana selain daun pokok lembiaga kulit kayu dan getah pokoknya yang mempunyai manfaat kesihatan, bendalir dari daun lembiaga juga boleh digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang disebutkan di atas.

Pokok lembiaga mudah ditemui tumbuh liar di kawasan berhampiran pantai terutama di hutan paya bakau atau tanah berpasit.

Pegawai Pusat Sumber Genetik Tumbuhan, Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Tajuddin Abdul Manap memberitahu, getah daun lembiaga boleh menjadi penawar sakit gigi dan luka.

Caranya mudah iaitu petik daun lembiaga segar dan kemudian titikkan getah atau bendalir melekit itu pada gigi yang sakit dan juga di tempat-tempat luka.

“Bagi sakit kembung terutama di kalangan kanak-kanak dan bayi, pesakit hanya perlu layurkan daun lembiaga dan kemudian tampalkannya di atas perut pesakit.

“Kaedah ini selalunya dilakukan berulang kali dengan menggunakan beberapa helai daun yang dilayur silih berganti bergantung kepada tahap sakit kembung yang dihidapi pesakit,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tajuddin memberitahu, bagi penyakit resdung pula, selalunya pengamal perubatan herba mengambil kulit kayu pokok lembiaga yang telah dikeringkan terlebih dahulu.

“Selepas dijemur atau dikeringkan beberapa hari, ia kemudian dibakar dan asapnya dihidu beberapa kali sehingga cecair lendir resdung keluar dari hidung.

“Kaedah ini patut diulangi setiap kali sakit resdung menyerang tetapi bagi mereka yang belum pernah melakukannya, sebaik-baiknya dicuba sekali dan lihat hasilnya dahulu sebelum kaedah ini diamalkan secara konsisten,” ujarnya.
Keistimewaan organisme probiotik
Posted by seri under KESIHATAN | Tags: Antibiotik |
No Comments

Oleh: NAJIBAH HASSAN

SEJAK lebih 50 tahun lalu, antibiotik merupakan salah satu elemen penawar terpenting yang tiada tolok bandingnya dalam menangani pelbagai masalah kesihatan.

Dengan kewujudan pelbagai penyakit seperti ruam, cirit birit mahupun penyakit berjangkit yang kronik, antibiotik mampu menyembuhkannya.

Apa yang membimbangkan ialah pengambilan pelbagai jenis antibiotik dalam jangka masa panjang memungkinkan seseorang itu lebih mudah diserang lain-lain spesies bakteria, fungus dan tidak terkecuali virus.

Sesetengah penyelidik perubatan berpendapat penggunaan antibiotik dalam jangka panjang sebagai punca timbulnya penyakit-penyakit.

Pakar perubatan holistik sebuah klinik swasta di Petaling Jaya, Dr. M. S Balajeyagaran berkata, jika dilihat daripada beberapa aspek, antibiotik dapat membunuh bakteria dalam tubuh yang menyebabkan timbul sesuatu jenis penyakit.

Bagaimanapun, ada masanya antibiotik ini tidak dapat membezakan antara bakteria yang baik dan tidak baik.

“Apabila semua bakteria dalam tubuh dibunuh oleh antibiotik, secara tidak langsung ia membunuh sistem pertahanan tubuh manusia,” katanya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Tubuh manusia mengandungi berbilion sel yang juga terdiri daripada pelbagai spesies bakteria. Dianggarkan terdapat hampir 400 spesies bakteria yang baik melekat pada dinding perut dan usus.

Organisme asing ini juga terdiri daripada bakteria yang baik dan tidak diperlukan tubuh manusia.

Ketidakseimbangan kedua-dua bakteria ini boleh mengakibatkan kesihatan dan pemakanan seseorang terganggu tanpa mengira masa.

Dr. Bala memberitahu, organisme yang dikenal pasti melindungi dan memastikan kesihatan yang baik dikenali sebagai probiotik.

“Probiotik menghasilkan nutrien yang cukup penting untuk menghapuskan toksin, melindungi makanan daripada menjadi busuk, memusnahkan bakteria yang tidak baik dan paling penting meningkatkan sistem pertahanan tubuh manusia,” katanya.

Menyedari hakikat ini seorang saintis dari Jepun yang cukup terkenal, Dr. Iichroh Ohhira menemui pendekatan baru iaitu menghasilkan probiotik dalam bentuk kapsul untuk menangani masalah ini.

“Kapsul ini mengandungi berjuta-juta bakteria hidup yang boleh dimakan dan membezakan bakteria yang tidak baik dalam tubuh,” kata Dr. Bala.

Dengan kewujudan kapsul yang dapat melawan bakteria yang tidak baik, sistem pertahanan tubuh dibantu secara tidak langsung.

“Dengan erti kata lain, sistem pertahanan tubuh akan menumpukan perhatian pada lain-lain penyakit seperti demam, kanser dan penyakit-penyakit yang menyebabkan fungsi tubuh menurun,” katanya.

Apa yang lebih penting, kata Dr. Bala, kita harus memastikan pengambilan bakteria yang berkualiti ini.

Tambahnya, kajian menunjukkan bahawa bakteria yang sihat dapat mencegah jangkitan pundi kencing, faraj, malah tidak keterlaluan kalau dikatakan penyakit-penyakit kelamin yang berjangkit.

Selain itu, bayi yang dimasukkan ke hospital dan diberi susu formula yang diperkaya dengan bifidobakteria sukar untuk mendapat penyakit cirit birit yang berjangkit

Probiotik juga boleh diperoleh dalam sumber asli seperti susu yang diperkaya dengan acidophilus dan bifidus.

“Makanan yang telah melalui proses penapaian seperti tempe, tapai, budu, cencaluk dan tempoyak sebenarnya mengandungi kadar probiotik yang cukup tinggi.

“Jika diteliti generasi terdahulu yang banyak memakan makanan seumpama itu jarang menghidap penyakit-penyakit yang dihidapi generasi zaman ini yang lebih mengutamakan makanan segera dalam kehidupan seharian,” kata Dr. Bala.
Tongkat ali - Kajian ke Amerika Syarikat
Posted by seri under TIPS~PETUA | Tags: Tongkat ali |
No Comments

KAJIAN pembangunan dan pemasaran ke atas herba tongkat ali kini sedang dilakukan di peringkat usaha sama antara sepasukan penyelidik tempatan dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Pembangunan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Md. Salleh Yaapar memberitahu, peringkat penyelidikan di makmal kini telah selesai.

“Kerjasama dengan MIT dan potensinya memang dahsyat,” katanya kepada Utusan di pejabatnya di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pasukan saintis tempatan itu telah dibentuk oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

“Setakat ini, tiada siapa boleh bercakap mengenai kandungan kajian berkenaan,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, asas bahan yang dikaji adalah sama - iaitu ekstrak bahagian tertentu tongkat ali - tetapi ia tidak boleh disamakan dengan yang dijual di pasar-pasar malam.

“`Yang itu (di pasar malam) tidak pernah di bawa ke makmal.

“Asasnya sama, iaitu pokok (tongkat ali) di kampung-kampung,” ujarnya lagi.

Katanya, tongkat ali yang telah diproses dan dijual di pasaran, dan mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana keyakinan khasiatnya secara turun temurun.

“Kita beli kerana kita yakin - bubuh dalam kopi dan sebagainya. jadi ia berkembang secara folk wisdom - bukan saintifik,” ujarnya.

Mengenai penyelidikan-penyelidikan lain, beliau berkata, sejenis lagi herba yang berpotensi ialah Misai Kucing yang berpotensi mengubat penyakit arthritis atau radang sendi.

“Misai Kucing sekarang telah memasuki peringkat produk,” katanya.

Menurut beliau, Misai Kucing merupakan sejenis pokok tropika yang bunganya mempunyai struktur mengunjur seperti misai kucing.

Kata beliau, penyelidikan juga sedang dilakukan ke atas herba Hempedu Bumi dan Timun Laut (gamat).

Selain itu, USM juga sedang dalam perundingan dengan sebuah kerajaan negeri untuk menjalin kontrak penternakan tiram secara besar-besaran.

“Malah kepada sesiapa yang berminat menternak tiram, kita boleh membekalkan dan membenihkan anak-anak tiram dalam satu jangkamasa tertentu,” katanya.

Salah seorang saintis USM pula sedang membiak dan memulihara spesies kerang gergasi di habitat asalnya di perairan Johor untuk tujuan ekopelancongan.

“Kerang berkenaan, sebelum ini sungguh mahal apabila dihidangkan sebagai santapan eksotika di Singapura serta restoran-restoran mewah di sini,” ujarnya.

Menurut beliau, banyak lagi kajian-kajian yang sedang, akan dan telah dilakukan di USM yang sedia untuk dipasarkan.

Selain itu, tambah beliau, yang turut mendapat perhatian dan sedang dipromosikan oleh universiti berkenaan ialah pakej Ternakan Ikan Dalam Kanvas yang dimajukan oleh penyelidik di Sekolah Sains Biologi, Prof. Madya Roshada Hashim.

Utusan diberitahu, rombongan daripada Mauritius baru-baru ini telah menunjukkan minat untuk mengunakan penyelidikan berkenaan di negara berkenaan.

Selain daripada itu, tambah Dr. Md. Salleh, dua penyelidikan yang memenangi pingat emas dalam pertandingan di Geneva baru-baru ini juga mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Alat mengesan untut atau kaki gajah dikenali sebagai Brugia Rapid, boleh mengesan secara awalan jangkitan disebabkan cacing Wuchereria bancrofti dan Brugia malayi.

Alat berkenaan dicipta oleh pensyarah Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Dr. Rahmah Noordin.

“Turut mencipta nama semasa di Geneva ialah Pensyarah di Sekolah Teknologi Perindustrian, Dr. Baharin Azahari yang mencipta Kleenoll, iaitu sisa getah yang boleh menyerap tumpahan minyak sebanyak dua kali beratnya,” katanya.
Bicara Hikmah

Masa dan waktu adalah sesuatu yang amat tinggi nilai dan harganya. Orang yang tidak memahami dan tidak mengerti nilai dan harga waktu, pada suatu hari nanti akan menyesal dan berdukacita dengan masa lalu yang telah terlepas dari genggamannya. Orang begini sering menanti dan menangguh-nangguhkan penggunaan waktu. Sesuatu yang boleh dilakukan pada hari ini, akan ditangguhkan pelaksanaannya hingga esok hari. Tugas yang seharusnya dilakukan dengan serta- merta akan ditangguhkannya ke saat yang lain. Dengan itu banyak peluangnya akan terlepas, dan dia akan merasa kesal dengan tindakannya melengah-lengahkan penggunaan waktu.

*******************************************

Perlu dingat, telah menjadi tabiat dunia sesuatu perkara itu kalau dicari atau dikejar, ia akan lari atau lesap di depan mata. Sebagaimana hadis Rasulullah yang antara lain maksudnya, Barangsiapa yang mengejar dunia, dunia akan lari dan barang siapa yang meninggalkan dunia (seadanya) maka dunia akan datang melulut kepada kamu.

*******************************************

RAMADAN yang sedang kita lalui adalah bulan penuh keberkatan. Bulan kebaikan lebih berkat diisi dengan amalan yang baik. Sedekah adalah sifat mulia yang dituntut oleh Islam. Pahala yang berlipat ganda akan diperolehi jika mengamalkan perbuatan ini. Pemberian yang ikhlas dan dilakukan semata-mata kerana Allah adalah inti pati sedekah yang sebenarnya.

Bersedekah kerana mahukan balasan atau sanjungan orang lain adalah sifat yang tidak jujur. Kita harus bersikap sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk hingga menimbulkan perasaan marah dan benci kepada orang lain. Ukuran sedekah bukanlah berdasarkan banyak atau sedikit sesuatu yang disedekahkan tetapi keikhlasan adalah penting.

*******************************************

Miskin adalah penyakit. Justeru kita harus berusaha menjauhi daripada lingkaran kemiskinan. Tanpa usaha tentunya tiada hasil yang akan diperoleh. Bahkan ia membawa kepada kerosakan akidah, fikiran, rumah tangga dan keamanan.

*******************************************

RENUNGILAH detik kematian diri kerana itulah saat paling agung dalam hidup. Kala itu, berpasang-pasang mata akan menatap jenazah kita. Pun begitu, kematian merupakan antara empat perkara yang Allah sembunyikan daripada manusia selain rezeki, jodoh dan tanah kubur.

Itulah persoalan yang sering bermain di benak fikiran kita. Sabar dan tabah sebenarnya tidaklah semudah kita mengeluarkan kata-kata. Hanya zikir dan doa mereda jiwa.

********************************************

GULA serawa si daun turi, Buah manggis diikat-ikat. Kawan ketawa mudah dicari, Teman menangis sukar mendapat. Demikian orang dahulu mengungkap erti sahabat. Mencari sahabat sejati umpama memilih berlian di dalam timbunan kaca. Perlu berhati-hati agar kaca tidak tertusuk jari. Andai tersilap, jari pasti luka dan parutnya akan berkesan selama-lamanya.

Memang bertuah jika kita ada sahabat sejati kerana dia umpama pohon yang rendang, tempat kita berpaut kala kesedihan dan tempat berteduh kala kesusahan.

********************************************

AMANAH dan JUJUR adalah elemen yang menentukan kejayaan kita dalam apa juga bidang yang diceburi. Berhati hati dengan gerak langkah orang yang berada di sekeliling kita. Tidak semua daripada kita mampu membaca gerak hati orang lain.

*********************************************

Dua bentuk kasih sayang yang akan menimbulkan sedikit masalah sekiranya tidak dikawal iaitu memberi apa sahaja mengikut kehendak dan keinginan tanpa ada sebarang batasan. Manakala yang kedua, ibu bapa yang terlalu mengongkong anak-anak. Setiap benih kasih sayang yang disemai dihati anak-anak sejak kecil pasti akan membuahkan hasil

*********************************************

SEORANG tua yang merajuk kerana berjauh hati dengan anak cucu pernah berkata, ``orang tua seperti al-Quran buruk, dibaca tidak boleh, dibuang berdosa.'' Kata-kata itu mengusik hati kerana mahu atau tidak, kita semua pasti dimamah usia. Tua bukanlah satu masalah besar atau igauan ngeri yang menakutkan. Tua hadir selepas muda, bermakna ia merupakan pusingan hayat semulajadi. Benar tubuh tua kita semakin sukar untuk bergerak aktif tetapi buah fikiran sentiasa aktif dan dapat dimanfaatkan

*********************************************

SEDEKAH amat dituntut dalam Islam. Di samping dapat membantu golongan memerlukan, sedekah menginsafkan manusia bahawa kekayaan Allah di bumi ini untuk dikongsi bersama. Fadilat bersedekah meliputi dunia dan akhirat. Bahkan, Allah s.w.t menjanjikan ganjaran dunia kepada mereka yang pemurah seperti dimurahkan rezeki, menolak bencana, memanjangkan umur, mencegah kematian yang buruk dan menghapuskan dosa.

No comments:

Post a Comment