Tuesday, October 21, 2008

Industri burung walit makin berkembang
Oleh Abdul Razak Raaff

JOHOR BAHRU: Industri penternakan burung walit atau nama saintifiknya, `aerodramus
fuciphagus' bagi mendapatkan sarangnya, semakin berkembang di negeri itu, sukar
dilaksanakan secara berpusat atau kawasan luar bandar.


Sarang burung daripada spesies layang-layang itu mempunyai nilai pasaran tinggi
sehingga puluhan ribu ringgit setiap kilogram menyebabkan ramai pihak berminat
menjalankan penternakan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Datuk Halimah Mohd
Sadique, berkata kawasan bandar memiliki banyak bangunan batu menyerupai habitat
asal haiwan itu yang tinggal di gua batu.

Katanya, perolehan lumayan dan permintaan tinggi sarang burung menyebabkan ramai
pihak mahu menternak dan menggunakan bangunan lama sebagai tempat burung itu
membuat sarang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan mahu rakyat negeri itu yang berminat mengusahakan
ternakan burung walit perlu mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa
tempatan dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) serta Jabatan Perlindungan Hidupan
Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

"Setakat ini, tiada lesen perniagaan sarang burung walit ini dikeluarkan pihak berkuasa
tempatan (PBT) di premis perniagaan atau taman perumahan di bandar raya.

"Mereka boleh menjalankan perniagaan menternak burung walit ini asalkan ia menepati
undang-undang dan garis panduan permohonan lesen premis perusahaan burung walit
ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya di sini semalam.

Halimah berkata, undang-undang berkaitan permohonan lesen itu termasuk Akta
Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang
Kecil Seragam 1984 serta peraturan penternakan yang ditetapkan oleh JPH.

Katanya, pihaknya tidak membenarkan bangunan kediaman sepenuhnya dan tingkat
bawah bangunan dijadikan sarang burung itu dan sebarang pengubahsuaian dalam
bangunan membabitkan struktur perlu ada pengesahan jabatan berkaitan.

Beliau berkata, gangguan ternakan burung walit di kawasan bandar boleh diminimumkan
jika pengusahanya mematuhi peraturan termasuk corong pembesar suara perlu dipasang
mengadap ke langit pada sudut kira-kira 60 darjah.

"Najisnya tidak mempunyai kuman membawa penyakit dan bunyi yang boleh didengar
burung itu adalah antara empat hingga 16 dB (desibel) manakala tahap kacau ganggu
bunyi kepada manusia mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ialah 50 dB,"
katanya.

Fakta

Burung Walit
• Sarang burung walit ini diperbuat daripada air liurnya dan harganya berdasarkan jenis
dan warna dengan hitam dijual dari RM1,500 sekilogram; putih RM3,0000 sekilogram;
kuning RM25,000 sekilogram dan merah RM45,000 sekilogram.
• Dianggarkan pada tahun 2005 terdapat 10,000 premis membela burung walit di seluruh
negara dengan nilai eksportnya RM500 juta.
• Sarang burung walit disahkan Kementerian Kesihatan sebagai bersih dan boleh
dimakan serta burung itu tidak membawa vektor penyakit.

No comments:

Post a Comment