Sunday, November 28, 2010

Kenali punca dan bahaya strok

Umumnya tidak ramai di kalangan masyarakat kita yang mengetahui
tentang kaedah rawatan atau proses pemulihan sesuatu penyakit dengan
mendalam. Sehingga dihidapi sendiri atau di kalangan ahli keluarga,
baru ada kesedaran untuk mengkaji punca, kesan dan langkah
mengatasinya.

Kurangnya matlamat atau pengetahuan berhubung sesuatu penyakit yang
dihidapi itu sukar untuk dipulihkan atau sekurang-kurangnya
diminimumkan. Bagi penyakit yang serius seperti strok atau lebih
dikenali angin ahmar, pesakit sebenarnya berpeluang dipulihkan
sekiranya mereka menjalani proses pemulihan yang betul, tepat dan
cepat.

Meskipun proses pemulihan ini tidak dapat menjadikan keadaan pesakit
kembali normal, sekurang-kurangnya ia membantu mengurangkan
kompilasi akibat penyakit ini. Proses pemulihan yang tidak sempurna
menyebabkan hampir sebahagian besar pesakit tidak dapat dipulihkan.
Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan peluang pesakit untuk
pulih semakin nipis.

Fungsi otak terjejas

Pensyarah di Jabatan Perubatan Fakulti Perubatan Universiti
Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Raymond Azman Ali berkata, strok
merupakan salah satu daripada penyakit gangguan fungsi otak yang
berlaku secara tiba-tiba. Ia diakibatkan oleh salur darah otak yang
tersumbat dan pecah seterusnya menyebabkan pendarahan.

"Keadaan ini seterusnya akan menyebabkan fungsi otak terjejas
seperti fungsi otak yang berkaitan dengan percakapan, penglihatan
dan pergerakan seseorang. Penyakit ini biasanya berlaku kepada
individu yang berumur 45 tahun ke atas akibat beberapa faktor
risiko. Ini termasuklah hipertensi, diabetes, tabiat merokok dan
paras kolesterol yang tinggi," katanya.

Dr Raymond menjelaskan bahawa hipertensi atau tekanan darah tinggi
ialah penyebab tunggal paling biasa bagi strok. Orang yang menghidap
tekanan darah tinggi menghadapi risiko menghidap strok yang jauh
lebih tinggi berbanding serangan jantung dan penyakit lain yang
berkaitan.

"Apabila tekanan darah meningkat, beban pada arteri dan salur darah
turut meningkat. Secara beransur-ansur, beban ini akan menyebabkan
arteri semakin keras dan sempit, satu proses yang dinamakan
aterosklerosis. Arteri juga mungkin menjadi semakin lemah
menyebabkan ia pecah. Akibatnya ialah serangan strok berdarah (strok
hemoragik)," katanya.

Dr Raymond berkata, orang yang mengalami sakit jantung koronari
berhadapan dengan risiko dua kali ganda lebih tingi berbanding orang
sihat yang menghadapi strok. Jantung yang berdenyut secara tidak
seragam atau yang bengkak, sama ada yang dengan injap yang sempit
atau tidak berfungsi juga menjadi sumber gumpalan darah pada otak.
Ini adalah satu proses yang dinamakan embolisme yang menjadi punca
strok iskemia. "Strok iskemia ialah strok yang disebabkan oleh salur
darah yang tersekat yang tiba-tiba memperlahankan atau
menghentikan aliran darah ke otak," katanya.

Menurut beliau lagi, kencing manis, walaupun boleh dirawat juga
meningkatkan risiko seseorang mengalami strok. Ini kerana kencing
manis menyebabkan arteri mengalami arterosklerosis (mengeras dan
menyempit) dan menjadi semakin lemah. Kombinasi penyakit kencing
manis dan hipertensi meningkatkan lagi risiko bagi penghidap kencing
manis.


Merokok juga satu faktor
Merokok juga satu lagi faktor risiko. Nikotin dan karbon monoksida
dalam asap tembakau mengurangkan jumlah pengeluaran oksigen. Bahan-
bahan ini juga merosakkan dinding salur darah, menyebabkan gumpalan
terbentuk dan menyekat aliran darah. Namun demikian, punca strok
daripada merokok boleh dicegah. Kajian terbaru menunjukkan bahawa
tahap homosistin yang tinggi secara langsung meningkatkan risiko
strok," jelas Dr Raymond.

Strok tidak mengenal usia. Bagaimanapun katanya, tidak dinafikan
bahawa usia memainkan peranan penting dalam profil pesakit strok.
Walaupun strok boleh menyerang orang pada setiap peringkat usia,
termasuk kanak-kanak di Malaysia, lebih daripada separuh mangsanya
berusia 60 tahun.

Memandangkan proses penuaan tidak boleh dihentikan, warga tua boleh
mengurangkan risiko dengan mengawal gaya hidup dan pemakanan mereka.
Satu perkara yang menarik tentang penyakit ini ialah, walaupun strok
lebih kerap berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita,
kebarangkalian wanita mati akibat strok lebih tinggi daripada
lelaki. Penggunaan pil pencegah hamil dan kehamilan membawa risiko
khusus kepada wanita.

"Keturunan dan bangsa ialah faktor yang turut boleh menentukan tahap
risiko seseorang terhadap strok. Seseorang berisiko tinggi menghidap
penyakit ini sekiranya salah seorang daripada ahli keluarga terdekat
mengalaminya. Sepuluh peratus daripada kematian di negara-negara
maju adalah disebabkan strok.

Di Amerika Syarikat, rakyat Amerika berkulit hitam lebih tinggi
diserang strok berbanding penduduk berkulit putih. Di China pula,
penyelidikan mendapati bahawa penduduk di bahagian utara China
mempunyai kadar strok yang lebih tinggi berbanding dengan penduduk
di bahagian selatan dan tengah China. Pemakanan mungkin menjadi
salah satu sebab perbezaan tersebut.

Di Malaysia, pada tahun 1997 sahaja, 68.38 per 100000 populasi
menghidapnya dan ianya tertinggi di kalangan penduduk berbangsa
Cina, diikuti Melayu dan India. Dr Raymond turut menyatakan bahawa
rawatan untuk strok adalah bergantung kepada penyebab strok itu
sendiri.

Masalah saraf dan kelumpuhan akibat pendarahan atau kerosakan sel di
otak biasanya sukar dipulihkan kecuali pada kes yang tidak begitu
teruk. Di peringkat awal selepas berlaku strok, rawatan sokongan
serta ubat tertentu diperlukan untuk mengelakkan kerosakan otak
daripada lebih teruk.
Amalkan gaya hidup sihat

Rawatan sokongan yang diberikan bergantung kepada tahap keterukan
strok, di mana ia boleh terdiri daripada bantuan pernafasan,
pemantauan status kardiovaskular, pemberian cecair yang diperlukan
tubuh (bendalir intravena) serta jagaan kejururawatan.

Di peringkat seterusnya, rawatan adalah lebih tertumpu kepada terapi
rehabilitasi iaitu mengelakkan komplikasi akibat masalah kelumpuhan
atau lemah anggota, cara penggunaan tandas, penyesuaian tabiat
pemakanan serta sokongan emosi. Rawatan di peringkat ini memerlukan
sokongan dari setiap anggota keluarga bagi memastikan individu
berkenaan dapat menikmati kualiti hidup sebaik mungkin.

Menurut Dr Raymond lagi, penggunaan vitamin perangsang saraf otak
mungkin digunakan walaupun kesan pemulihan dengan penggunaannya
adalah tidak begitu menggalakkan. Secara keseluruhan, serangan strok
mungkin boleh dicegah menggunakan pendekatan dua cabang iaitu
pendidikan umum dan pengurusan faktor-faktor risiko.

Pendidikan kesihatan adalah penting dalam usaha menentang strok.
Ramai yang masih jahil tentang perkara ini. Dalam hal ini, perkara
penting yang perlu diubah ialah gaya hidup dan pemakanan. Ini
termasuklah mengamalkan gaya hidup sederhana atau mengenepikan
tabiat buruk seperti merokok atau minum alkohol serta mengelakkan
tekanan dan berat badan berlebihan. Senaman selama 30 hingga 45
minit sangat penting untuk mengekalkan tahap kecergasan dan
mengelakkan berat badan yang berlebihan.

Pemakanan yang seimbang dengan kandungan lemak dan karbohidrat
sederhana membantu mengurangkan berat badan. Ini kerana berat badan
berlebihan merupakan sebab utama kencing manis dan hipertensi.
Pengambilan garam yang sederhana juga membantu mengurangkan tekanan
darah. Elakkan juga daripada mengambil makanan yang mengandungi
tahap kolesterol yang tinggi seperti daging merah, lemak dan produk
susu.

Penjagaan kesihatan yang berterusan secara tidak langsung
mengurangkan tahap risiko daripada diserang penyakit yang sering
kali menjadi igauan golongan tua ini. Tidak terlambat untuk berusaha
dari sekarang khususnya kepada generasi muda. Jangan sampai di usia
tua, baru bermula. Jika tidak, usah diharap kita akan ditolong oleh
anak-anak jika sudah terlantar di katil kerana ditakuti mereka
menanti saat-saat kematian sahaja.

** Artikel ini adalah sebagai maklumat sahaja, Sila berjumpa Doktor
bertauliah untuk memperolehi maklumat yang lebih tepat **

No comments:

Post a Comment