Thursday, August 19, 2010

Kejayaan 22 tahun perjuangan Hamas
Harakahdaily
Gerakan Islam Hamas kini mencecah usia 22 tahun berjuang membebaskan Palestin daripada penjajahan Yahudi Zionis, dan bertekad untuk meneruskan lagi perjuangan getir ini tanpa kompromi.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyah, menyatakan janji ini di depan puluhan ribu warga Palestin yang hadir di Semenanjung Gaza untuk menyambut ulangtahun penubuhan kumpulan ini.

Ismail menegaskan, Hamas tidak akan mengiktiraf Israel dan akan terus berjuang, ketika ujian getir menimpa kumpulan ini yang terbukti menerima sokongan rakyat apabila menang besar dalam pilihan raya pada awal 2006.

Hamas melepasi ujian sejurus menang pilihan raya itu, yang menyaksikan tekanan-tekanan diberikan kepada kerajaan baharu dikuasai Hamas.

Sebelum itu, jutaan dolar dihulurkan oleh Amerika Syarikat kepada Pihak Berkuasa Palestin dikuasai Fatah sebagai dana pilihan raya. Barat tidak mahu melihat kumpulan Hamas menang dalam pilihan raya itu, menewaskan agennya, Fatah.

Mahmoud Abbas daripada Fatah kini masih memegang jawatan presiden Palestin, tetapi bukan sebuah negara seperti yang difahami ramai, cuma autoriti yang diiktiraf Barat sebagai mewakili Palestin.

Bukan itu sahaja, pengundi-pengundi di kawasan Baitulmaqdis Timur dihalang mengundi kecuali beberapa kerat, dan yang lain menghadapi cabaran merentasi kawalan Israel untuk mengundi.

Selepas Hamas menang, penyokong kuat Israel, pentadbiran George W Bush tetap enggan menghormati kejayaan besar Hamas mengaut 76 kerusi parlimen, apabila mengugut untuk membatalkan bantuan sebanyak AS$400 juta setahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Manakala Kesatuan Eropah walaupun meneruskan bantuan tahunan sebanyak AS$606 juta, terus mendesak Hamas menghentikan perjuangan bersenjata dan mengiktiraf Israel.

Hanya Hamas dan Palestin didesak menerima syarat-syarat tidak masuk akal itu, sedangkan Zionis yang datang menjajah, membina penempatan haram yang mempunyai kemudahan (tidak seperti penempatan rakyat Palestin), membunuh rakyat Palestin dan membina tembok penghalang diberi bantuan berterusan oleh Barat.

Hal ini memberi pengajaran kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia tentang sikap Barat terhadap mereka. Gerakan Islam sebenar tidak akan mendapat restu dan penghormatan daripada pihak Barat.

Kumpulan-kumpulan (atau tokoh-tokoh) yang diberi penghormatan Barat perlu diragui oleh ahli-ahli gerakan Islam, dan tidak melihatnya sebagai Barat akhirnya mengiktiraf kita.

Hamas secara konsisten menolak perjanjian-perjanjian damai tajaan AS seperti Perjanjian Oslo yang sangat berat sebelah dan tidak diwakili kumpulan yang paling dizalimi.

Istilah-istilah seperti "penyelesaian dua negara" yang digambarkan sebagai mengiktiraf wilayah Palestin hanya cara lain untuk memecahkan wilayah asal Palestin dan memberikan bahagian yang terbaik kepada pihak Yahudi.

Tidak seperti pemimpin kumpulan Fatah, pemimpin-pemimpin Hamas tidak diiktiraf malah diburu dan dibunuh.

Pada tahun 2004, dua orang pemimpin besar Hamas dibunuh Zionis. Syeikh Ahmad Yassin dibunuh pada 22 Mac 2004, dan kemudian Abdul Aziz al-Rantissi pada 17 April melalui serangan daripada helikopter bersenjata.

Syeikh Ahmad berjasa besar dalam menubuhkan Hamas, yang seperti juga PAS di Malaysia, mendapat pengaruh daripada Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Walaupun secara rasmi tertubuh pada 1987, gerakan ini telah wujud lama sebelum Intifadah pertama itu.

Dari sudut susur galurnya, Hamas boleh disifatkan sebagai sayap Ikhwan di Palestin.

Gerakan Islam perlu sentiasa ingat bahawa musuh tidak sekali-kali akan reda dengan perjuangan Islam, kecuali apabila perjuangan itu terpesong atau terpengaruh dengan agenda-agenda yang berlandaskan kepentingan lain yang tidak kena dengan perjuangan Islam.

Apa yang berlaku kepada Hamas sejak penubuhannya, sehingga akhirnya menang pilihan raya dan berdepan serangan di Gaza menunjukkan istiqamah gerakan ini, yang tidak seperti Fatah, menerima pengiktirafan Barat dan pelbagai bantuan.

Kini, dunia melihat selepas hampir setahun konflik Gaza yang menunjukkan Hamas dan penduduk kawasan sempit itu hampir tidak berupaya melawan serangan Zionis, sokongan kepada Hamas tidak luntur, seperti juga prinsip perjuangan yang dipegang Hamas.

Ismail dalam ucapannya itu menegaskan, "Kami tidak akan berundur memperjuangkan wilayah Palestin dari sungai hingga ke laut," merujuk kepada sempadan sebelum Inggeris menyerahkan tanah Palestin kepada Yahudi yang membolehkan Israel diwujudkan secara haram pada 1948.

Dalam tindakan-tindakan masyarakat antarabangsa yang dikuasai Barat, pernah disebut sempadan tahun 1967, kemudian sempadan 1973 sedangkan sempadan Palestin tahun 1948 perlu ditangani terlebih dahulu.

Hamas sendiri, melalui seorang pemimpinnya Khalid Mashaal, menegaskan sejurus menang pilihan raya pada 2006, rundingan dengan Israel perlu terlebih dahulu menangani isu perdamaian dan bukan isu sempadan, yang kini telah jauh daripada sempadan 1967 yang pernah ditegaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai had Israel perlu berundur.

Menurut Hamas, sempadan 1967 itu juga sudah merupakan sesuatu yang sangat tidak adil kepada rakyat Palestin. Kekejaman yang berlaku pada 1948 masih segar dalam ingatan ramai mangsanya yang masih hidup, dan masih jelas dalam rakaman sejarah.

Sikap istiqamah Hamas dan kejelasan prinsip perjuangan dan pemimpin-pemimpinnya membolehkan Hamas mendapat sokongan dan meraikan sambutan ulangtahun ke-22 dengan gemilang.

"Sepanjang 22 tahun penubuhannya, Hamas berjaya mencapai satu bahagian besar matlamatnya dan mengatasi setiap cabaran dihadapi, termasuk penjara, pembuangan, pembunuhan dan pilihan raya," kata seorang lagi pemimpinnya, Mahmoud Zahar.

Hamas kini terus membuktikan apa yang diucapkannya, mempertahankan prinsip perjuangan dalam menghadapi cabaran kalah dan menang, menjadi salah satu contoh utama kepada gerakan-gerakan Islam seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment