Sunday, March 29, 2009

Galak anak baca
Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my




ANTARA buku dan televisyen, yang mana satu lebih menarik perhatian anak anda? Jika dibuat tinjauan rambang, tentu ramai ibu bapa mengatakan anak mereka lebih gemar menonton televisyen berbanding menumpukan perhatian terhadap bahan bacaan.

Kalau menonton televisyen, memang mudah terleka, apatah lagi jika ia rancangan diminati dan ditunggu. Apapun, jika inginkan kejayaan anak, ibu bapa perlu membuat peraturan menonton televisyen untuk anak.


Hadkan waktu menonton bagi membolehkan masa yang ada digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, membuat kerja rumah dan beriadah. Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi pendedahan anak kepada permainan video dan Internet.

Anda boleh membuat peraturan tidak membenarkan anak menonton televisyen ketika minggu persekolahan. Mereka cuma boleh menonton pada hujung minggu atau jika mahu memberi kelonggaran, mereka juga boleh berbuat demikian pada Jumaat iaitu hujung minggu persekolahan.

Syaratkan anak cuma boleh menonton atau bermain selepas menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran atau waktu bermain pada jam tertentu.

Semaikan minat membaca dalam diri anak sejak kecil. Selain memperbanyakkan amalan bacaan al-Quran sewaktu mengandung, ibu boleh membacakan cerita untuk anak dalam kandungan bagi membiarkan ia terbiasa dengan suara ibu.

Ketika anak masih kecil, belikan bahan bacaan berwarna dan mempunyai ilustrasi menarik bagi menarik minat anak. Luangkan masa membaca buku cerita untuk anak. Cara itu dapat meningkatkan kemampuan otak anak dan memperbanyakkan perbendaharaan katanya.

Terbit perasaan ingin tahu mengenai kesudahan cerita hingga membuatkan anak menumpukan sepenuh perhatian terhadap penceritaan anda. Perasaan ingin tahu itu mendorong mereka untuk bertanya dan membuat andaian cerita selanjutnya.

Sesekali, tanya si kecil apa kemungkinan yang berlaku pada pengakhiran cerita bagi merangsang daya imaginasi anak. Mereka akan berusaha mencari jawapan sendiri membuatkan otak sentiasa berfikir.

Ajak anak ke kedai buku untuk memupuk tabiat suka membaca. Selepas memilih bahan bacaan bersesuaian dengan usia anak, biarkan pula anak memilih satu atau dua bahan bacaan yang mereka sukai.

Jika mereka seronok merasai pengalaman masuk ke dalam ‘dunia buku’, ajak pula mereka ke perpustakaan untuk ‘pengembaraan’ lebih luas.

Luangkan masa bersama anak memilih bahan bacaan yang sesuai di khazanah ilmu itu. Anak akan mengalami sendiri suasana membaca dengan penuh tumpuan kerana keadaan perpustakaan yang sunyi.

Setiap tahun, pelbagai jualan buku secara besar-besaran diadakan dengan nama seperti pesta buku atau pasar buku. Ini masanya anda mencari pelbagai jenis bahan bacaan dengan tawaran harga istimewa. Bawa anak ke pesta buku untuk menunjukkan kepadanya budaya mencintai ilmu di kalangan masyarakat kita.

Selain menyediakan suasana kondusif atau bilik bacaan di rumah, pupuk minat anak untuk membaca walau di mana saja.

Tidak semestinya ketika hendak membaca, mereka perlu ada di tempat khusus. Biasakan membaca pada waktu terluang atau beberapa tempoh sehari sehingga ia menjadi amalan.

Hadiahkan buku kepada anak sebagai galakan minat membaca. Walaupun pada zaman kecanggihan teknologi masa kini, maklumat boleh didapati menerusi pelbagai cara, membaca adalah sumber utama ilmu pengetahuan.

Pantau bahan bacaan anak dan alihkan tumpuan mereka terhadap bahan bacaan bermanfaat serta dapat meluaskan pengetahuan.

Bacaan al-Quran lancar sebutan lidah


SAYA mengalami masalah dalam percakapan iaitu gagap. Ia menyebabkan saya kurang yakin dan rendah diri. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?




NAS,

Kuala Lumpur



GAGAP dalam percakapan bukan hanya membabitkan kesukaran untuk bertutur, malah menyebabkan masalah dalam berkomunikasi.

Gagap suatu keadaan bertutur yang terhenti-henti atau cenderung untuk mengulangi bunyi, suku kata, perkataan atau sebagainya.

Ia mungkin bermula sejak zaman kanak-kanak dan seterusnya sehingga dewasa.

Antara faktornya ialah bermasalah dalam percakapan, takut, terlampau ghairah, terkejut atau gugup dan sebagainya.

Menurut kajian, tiada rawatan yang seratus peratus berkesan untuk gagap.

Di negara maju sendiri terdapat satu peratus penduduk gagap.

Bagaimanapun ia dapat dikurangkan secara beransur-ansur dengan latihan dan kesabaran.

Kita boleh membaca bahan bacaan mengenai masalah ini di dalam pelbagai buku panduan atau di Internet.

Begitu juga kita boleh membiasakan diri dengan membaca al-Quran.

Ini disebabkan al-Quran mengajar kita supaya lancar lidah dalam sebutan dan bacaan.

Al-Quran juga boleh dibaca dengan kuat tanpa perlu malu-malu.

Di samping itu, amalkan doa yang diajar oleh Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s dalam surah Taha yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku; Dan mudahkanlah bagiku, tugasku dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku.” (Q. 20:25).
Ingin berubah tapi abai solat


DALAM Islam untuk mencari jodoh perlu pada akhlak dan agamanya. Teman lelaki saya berakhlak baik dan bertanggungjawab tetapi dia sering mengabaikan solat. Saya sering menasihatinya dan dia boleh menerimanya, malah berjanji akan berubah.

Tetapi apabila kami keluar ke mana-mana dia seperti biasa meninggalkan solat. Adakah saya perlu memutuskan hubungan dengannya atau terus menasihatinya kerana saya berniat apabila kami berkahwin nanti kehidupan beragamanya lebih teratur.


Apabila berlaku sebaliknya, itu yang merunsingkan saya. Mungkin selepas berkahwin dia akan memberontak dan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya. Apa pendapat Dr?



KELIRU
Subang Jaya.




MEMPUNYAI akhlak yang baik termasuk dalam kategori beragama yang dikehendaki Islam. Tujuan Islam ialah melahirkan insan yang benar berakhlak mulia dan baik.

Nabi s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya aku hanya diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."

Kisah Nabi Yusuf a.s dalam al-Quran mengingatkan kita bagaimana baginda memelihara rohani dan jasmaninya daripada terjebak ke lembah hawa nafsu manusia.

Antara akhlak mulia yang perlu diterapkan ialah ketakwaan kepada Allah, mengikut sunnah nabi, berpaling dan mengelak diri daripada hal yang tidak bermanfaat, reda dengan segala pemberian Allah dan kembali kepada Allah dalam semua perkara.

Saya berpendapat teman anda adalah seorang baik dan boleh diajak ke arah kebaikan. Dalam melaksanakan fardu solat, kesedaran sendiri adalah penting. Di samping itu, beliau hendaklah sentiasa diingati.

Ini kerana solat tiang agama. Mendirikan solat bererti menjaga agama dan asas akhlak. Ia juga asas kepada kebahagiaan keluarga.

Seorang yang mengamalkan tanggungjawabnya kepada Allah tentu lebih bertanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

Sebelum anda mengambil apa-apa keputusan sama ada memutuskan hubungan atau tidak, anda hendaklah terlebih dulu memberitahu prinsip anda dalam memilih pasangan hidup supaya beliau tahu.

Keluarga pula hendaklah memilih jodoh anak perempuannya daripada kalangan orang yang taat kepada agama.

Saya juga ingin menasihati anda supaya tidak terlalu bebas bergaul dengan mana-mana lelaki sehingga boleh membawa kepada maksiat seperti keluar berdua-dua tanpa mahram.
Niat qada solat, puasa


SAYA ada meninggalkan solat dan puasa disebabkan keuzuran tetapi tidak tahu cara niat untuk menggantikannya. Bagaimanakah niat ganti ibadat berkenaan yang sebenarnya?




INA
Kuala Lumpur.




APABILA ada lintasan di hati seseorang untuk melakukan sesuatu sama ada solat atau puasa, seseorang itu sudah dikira berniat.

Niat bermaksud pegangan hati dan azam melakukan sesuatu tanpa ada keraguan. Lafaz niat solat qada (ganti) misalnya bagi solat Zuhur: "Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada kerana Allah Taala." Jika solat qada Asar, diniatkan solat Asar. Begitulah juga dengan solat Maghrib, Isyak dan Subuh.

Bagi puasa qada (ganti), lafaz niatnya seperti: "Sahaja aku puasa esok hari qada bulan Ramadan kerana Allah Taala."

Wajib berguru baca al-Quran


SOALAN

SAYA tidak fasih membaca al-Quran tetapi segan, malah kesuntukan masa untuk belajar dengan guru. Bolehkah seseorang itu belajar mengaji al-Quran melalui radio atau cakera padat video (VCD) saja?


RASHID,
Kuala Lumpur.


JAWAPAN

MEMANG diakui teknologi moden banyak memberi kemudahan kepada kita terutama dalam mencari ilmu. Bagaimanapun, dalam Islam, belajar mengaji melalui kaset atau VCD tidak mencukupi, malah tidak harus terutama dalam mempelajari cara membaca al-Quran yang betul.

Kaedah membaca al-Quran yang betul dapat diperoleh daripada cara dengar dan memperdengarkan bacaan itu. Dengan adanya guru, kesilapan bacaan (tajwid) dapat dibetulkan. Guru akan memperbetulkan bacaan seperti idgham (degung), tebal nipis sebutan dan sebagainya.

Jadi, berguru dalam mempelajari al-Quran adalah wajib kerana setiap penyempurnaan sesuatu yang wajib itu adalah wajib juga. Buanglah perasaan malu demi kebaikan diri sendiri.

Bagaimanapun, jika sudah pandai, kaset dan VCD boleh diterima sebagai alat bantu tetapi kepentingan guru tidak boleh dikesampingkan dalam era teknologi.

No comments:

Post a Comment