Sunday, November 28, 2010

ABANG, ANAK KITA DAH BESAR..

“ Seronok tengok Ina..sibuk dengan baby,”. Tiba-tiba terpacul ayat itu dari mulut Kak Hasni. Saya memandangnya, hanya tersenyum. Belum mahu bersembang sepatah kata pun. Sibuk menukar lampin sambil mengagah si kecil.

“ Adakalanya, bila anak-anak dah dewasa ni, perasaan risau makin menjadi-jadi. Fikir-fikir, ada baiknya mereka kecil sampai bila-bila, “ luah Kak Hasni lagi. Ada nada bimbang pada getar suaranya.

“ Kenapa kak ?” soal saya pula setelah selesai menukar lampin. Si kecil saya biarkan berbaring, bermain-main dengan jari tangan dan kaki.

“ Entahlah..walaupun kecil-kecil dulu mereka hanya tahu berbaring, bila lapar, menangis. Kencing dan berak pun menangis. Tapi mereka tetap ada depan mata kita, “ Kak Hasni berhenti. Pandangan matanya jauh dilempar ke luar jendela. Anak-anak saya dan sepupu-sepupu mereka sedang riang bermain sambil menghirup udara petang. Hanya di kampung sahaja mereka boleh bebas bermain di halaman. Kalau di Puchong, pasti saya perlu temankan. Tidak berani membiarkan mereka tanpa pemantauan.

“Bila anak-anak dah besar, langkah mereka dah makin panjang. Dah ramai kawan-kawan. Selalu di luar, di rumah dah makin kurang. Bila memikirkan keadaan dunia hari ini yang tak sama macam dulu..bimbang,“ keluh Kak Hasni lagi sambil memegang tangan si kecil. Saya hanya mengangguk. Faham dengan kerisauan yang bertandang.

JANGAN PANIK
Saya pernah melalui masa-masa mencabar itu. Mencabar, dalam penilaian dan tanggapan usia saya kini sebagai seorang ibu. Namun bagi anak-anak yang sedang menikmatinya, tentu sahaja merasa bagaikan berada dalam satu dunia baru, dunia remaja.

Dalam alam baru ini, anak-anak sudah mula melihat dunia dihadapannya sebagai sesuatu yang menyeronokkan untuk mereka terokai. Semuanya bagai daya tarikan magnet untuk mereka mendekat, melekat dan merasai kelainannya berbanding alam kanak-kanak dahulu. Jika suatu ketika pada usia enam tahun mereka masih lagi riang bermain anak-anak patung atau kereta mainan, membaca buku cerita dan majalah komik kanak-kanak sambil tertawa mengekek; tetapi pada usia sepuluh tahun kemudiannya mereka mungkin sahaja asyik membelek wajah pada cermin muka atau menunggang motorsikal dengan gelak dan tawa bersama kawan-kawan mereka, juga membaca novel-novel cinta dengan sendu tangis hiba.

“ Jangan panik, “ nasihat seorang kakak yang sudah punya anak tujuh.

“ Bukan bermakna kita tidak ambil kisah. Kita peduli, namun dalam masa yang sama kita mengikuti perubahan itu sebagai sesuatu yang positif dalam perjalanan hidup seorang anak yang sedang meningkat dewasa,” tambahnya lagi, optimis.

“ Tapi kak, dunia hari ini tak sama seperti kita dulu. Dulu aman, sekarang penuh kerisauan. Nak melepaskan anak pergi sekolah berjalan kaki pun, rasa bimbang, “ kata saya pula. Sekadar membuka topik perbincangan agar lebih berpijak di bumi nyata.

Dia merenung ke anak mata saya. Dalam. Saya membalas renungannya penuh mengharap. Saya tahu dia punya alasan dan jawapan atas setiap bilah kata yang dilontarkannya tadi. Dia seorang ibu yang sudah punya anak remaja. Pasti dia lebih memahami kerana masa-masa gawat itu sedang dilaluinya.


MASIH BELUM CUKUP
“ Persediaan dan bersedia,” jawabnya pendek.

“ Maksud kakak ?” soal saya, minta penjelasan.

“ Kasih sayang semata-mata masih belum cukup, Ina, “ balasnya sambil memandang langit biru. Mendengar itu lidah saya terus kelu.

“ Kakak bukan menafikan kepentingan kasih sayang. Betul, kita memang perlu memberi kasih sayang kepada anak-anak. Belaian, ciuman, makanan yang halal dan sihat, sakit demam yang dijaga dan diberi ubat dan lain-lain lagi. Semua itu perlu, tetapi di samping itu ada beberapa perkara lagi yang juga harus kita ambil perhatian.," jelasnya panjang.

“ Contohnya, kak ? “ saya mencelah bertanya. Terasa perbincangan petang itu semakin menarik untuk saya berbual lebih lanjut bersamanya. Dia memandang saya, tersenyum. Manis sekali. Melihat senyumannya saja sudah cukup menggambarkan ketenangannnya berhadapan dengan kerumitan dunia anak-anak yang sedang meningkat usia.

“ Banyak, Na. Disiplin diri, nilai-nilai dan adab sebagai seorang Muslim, kebolehan untuk membina hubungan baik bersama orang lain di sekitarnya, keutamaan ilmu dan beramal dengannya, kefahaman yang benar tentang nilai wang ringgit terutama dalam dunia materialistik hari ini dan berbagai lagi yang memerlukan bimbingan, nasihat dan tunjuk ajar dari kita sebagai ibu dan bapa. Orang tua yang lebih dulu merasa masinnya garam walaupun mungkin bukan kita yang lebih dulu merasa lazatnya kentang putar dan burger keju,” katanya lagi disambut ketawa kecil saya.


JANGAN BERTANGGUH
“ Kalau begitu, sukar sungguh menjadi ibu bapa zaman millennium ni ye kak ? Panjang betul senarai tugasan kita, “ luah saya separuh mengeluh.

“ Memang tidak mudah. Kerana itu kakak selalu mengingatkan diri untuk bermula dari mereka kecil sebelum menginjak dewasa. Saat mereka masih di keliling kita sebelum mereka beransur pergi untuk berdikari sendiri. Jangan bertangguh! Ajar anak-anak tentang keutamaan menggunakan lima perkara yang disebut di dalam sabda Baginda sebaiknya. Tidak akan tergelincir kedua kaki anak Adam pada hari kiamat nanti melainkan dia akan ditanya dengan lima soalan; mengenai umurnya ke mana dihabiskan; masa mudanya bagaimana dipergunakan; hartanya dari mana diperoleh dan ke mana pula dibelanjakannya; dan ilmunya apakah ia diamalkan.” (Hadis riwayat Tirmizi, Tabrani dan Ibnu Asakir)”.


KASIH SAYANG YANG PERLU
“ Abang, boleh As tanya sesuatu ?” Saya memulakan bicara usai makan malam berlaukkan ayam masak merah dan nasi putih. Masa lapang bersama suami kala dia tidak mempunyai komitmen ceramah, program dan penulisannya perlu saya manfaatkan untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran. Sementelah saya juga masih ada persoalan dalam benak fikir tentang perbualan petang tadi.

“ Apa pendapat abang, kasih sayang sahaja masih belum cukup untuk membesarkan anak-anak?”tanya saya kepada suami tercinta.

“Kasih sayang semata-mata memang tak cukup, kasih sayang yang 'cukup' adalah kasih sayang terpimpin dengan panduan dan displin. Namun perlu diingat, kasih sayang umpama sebuah batu asas yang wajib dipupuk oleh ibubapa ke dalam diri dan hati anak-anak sewaktu usia 7 tahun pertama khususnya. Bagi mereka yang berjaya mewujudkan perasaan ini, peluang untuk membimbing dan mengawal anak-anak ketika umur remaja lebih besar dan mudah. Kerana setiap arahan dan kata-kata ibu bapa akan diterima oleh anak-anak sebagai kata-kata dari mereka yang dikasihi dan bukan sebuah beban. Namun tanpa kasih dan cinta, apa sahaja perkataan ibu bapa kelak akan menjadi satu leteran yang amat membosankan, lebih parah ia dianggap sebagai beban yang sangat menyusahkan” jawab suami menjelaskan sudut pandang.


CARA LEMBUT DIUTAMA
“ Maknanya, ibu bapa perlu mendahulukan pendekatan lemah lembut dalam keseluruhan tempoh pendidikan anak-anak. Begitu maksud abang ?” Soal saya lagi sekadar berbasa basi untuk mencungkil lebih lagi huraian dari suami.

“ Begini..cuba kita buat statistik teguran, kata-kata dan memek wajah kita semasa berhadapan dengan anak-anak dan karenah mereka. Jika pendekatan yang keras beriring masam di wajah melebihi 40 %, itu tanda cerah untuk gagal dalam memegang hati anak-anak. Lembut tidak beerti memanjakan, tetapi lembut adalah dengan tujuan, ada panduan dan ketegasan dalam hal prinsip,” kata suami memberi justifikasi.

“ Mengapa perlu lembut sebagai asas pendidikan anak-anak?”tanya saya lagi. Tersenyum suami mendengar soalan saya ini.
“Jika Nabi s.a.w mengarahkan kelembutan dan kelunakan sebagai asas membawa manusia kepada Allah swt, apatah lagi dalam usaha membawa keluarga dan anak kepada agama tentulah juga kelembutan dan kelunakan menjadi keutamaan.
Nabi SAW bersabda :
“Sesungguhnya agama ini adalah kukuh, maka oleh kerana itu serulah ke dalamnya dengan kelembutan”

Firman Allah SWT pula di dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud : ”Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu…”.


ABANG, ANAK KITA DAH BESAR
“ Kak Ngah, kenapa main dengan anak patung ? Kak Ngah tak boleh main anak patung dah la..Kak Ngah dah 8 tahun. Kak Long..dah tak suka main anak patung lagi, “ Kata-kata Kak Long jelas dan terang masuk ke pendengaran saya dan suami.

“ Apa salahnya..Ala, Kak Ngah tau Kak Long suka tengok jewellery sekarang ni. Kalau pergi carboot sale, nampak je rantai dan cincin manik Kak Long tentu cakap, Wah! Cantiknya..kan..kan” usik Kak ngah pula di sambut ketawa mereka bersama.

Mendengar itu, saya dan suami saling berpandangan.

“ Abang, anak kita dah besar,” luah saya penuh makna. Jangan panik, jangan bertangguh dan berikan kasih yang perlu…detik hati.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment